Khamis, 2 April 2009

Susuk krim kepala kerbau

PETALING JAYA: Keghairahan sebilangan lelaki berumur kembali muda mendorong mereka berbelanja ribuan ringgit setiap bulan semata-mata untuk memiliki ‘susuk krim kepala kerbau’.
Difahamkan, susuk itu lebih mudah digunakan berbanding susuk lain kerana tidak memerlukan sebarang jarum, berlian mahupun emas ditanam pada tubuh sedangkan fungsinya sama.
Susuk itu seperti pencerah kulit biasa yang mudah didapati di gedung kecantikan.
Cara penggunaannya sama, hanya bezanya dengan syarat dan jampi digunakan ketika memakainya.
Bagaimanapun, susuk terbabit hanya diperoleh di Thailand dengan harga RM2,500 hingga RM5,000 sebekas.Ia khusus untuk lelaki yang dihasilkan daripada campuran tulang manusia dengan kulit pokok ‘munggal’ sebelum dijampi dengan mantera.
Wartawan Harian Metro menemubual seorang bekas pemakai susuk itu yang mahu dikenali sebagai Azlan, 40-an.
Menurutnya, dia mula memakai susuk itu selepas diperkenalkan rakan setahun lalu dan membelinya dengan harga RM3,500 sebekas.
“Cara pemakaiannya mudah dan tidak memerlukan sebarang jarum atau benda lain. Ia sama dengan krim pencerah kulit biasa.
“Kita hanya perlu membaca jampi serapah yang diajarkan dalam bahasa Siam ketika menyapunya di muka selain disyaratkan melakukannya di hadapan cermin.
“Semua orang pasti terkejut dengan ketampanan dan difahamkan susuk berkenaan menyerap masuk ke dalam tubuh tanpa memberi sebarang kesan sampingan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Mengenai pantang larang, dia berkata, pemakai disyaratkan tidak memakan keladi, tebu hitam, sate, tumbuhan menjalar seperti kacang panjang dan timun.
“Sesiapa yang melanggar pantang akan mengalami masalah kulit serius hingga menjejaskan rupa paras. Malah, saya juga seorang daripada pemakai susuk itu yang menerima nasib sama selepas melanggar pantang.
“Kulit muka saya menggelupas selain dipenuhi ruam besar menyebabkan saya menderita hampir tiga bulan.
“Keadaan menjadi semakin teruk apabila mula merebak ke seluruh tubuh menyebabkan badan menjadi pedih dan bernanah. Ketika itu, saya hanya mampu mengerang kesakitan,” katanya.
Azlan berkata, dia bernasib baik selepas diperkenalkan kepada seorang pengamal perubatan tradisional yang mengubatinya dengan izin Allah.

Pengamal perubatan tradisional, Fadzil Othman, 46, ketika dihubungi, berkata kaedah membuang susuk jenis itu lebih sukar berbanding pemakaian susuk berupa jarum, berlian atau emas kerana ia menyerap masuk ke seluruh tubuh.
“Ini permainan syaitan kerana penghasilannya daripada tulang manusia selain beberapa mantera yang tidak diketahui maksudnya. Saya nasihatkan orang ramai mengelak daripada menggunakan susuk seperti itu,” katanya.
Sementara itu, pendakwah, Ustaz Hassan Mahmud al-Hafiz, berkata memakai susuk haram di sisi agama.
“Mana tidaknya, mereka mempercayai benda yang karut. Soal kecantikan dan ketampanan seseorang sebenarnya terletak pada hati dan bukannya raut wajah.
“Jika hati kita bersih dan baik, maka kecantikan semula jadi itu akan terserlah daripada dalam,” katanya.
Menurut Hassan, orang dulu hanya menggunakan bedak sejuk sebagai rahsia kecantikan dan perkahwinan mereka mampu kekal hingga hujung hayat.
“Jadi kenapa kita perlu menggunakan pelbagai benda karut sebagai alat untuk menjadi cantik. Mereka semua mesti segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan,” katanya.
SUMBER HARIAN METRO.

0 ulasan:

 
© free template by Blogspot tutorial