Jumaat, 20 Februari 2009

Valentine Day: Bodoh atau Tamak

Khutbah Jumaat di kawasan Wilayah Persekutuan membicarakan mengenai masalah ajaran sonsang yang melanda umat islam masa kini yang semakin meruncing, di antara masalah ‘ajaran sonsang’ yang diketengahkan adalah Valentine Day, Gejala Gay-Lesbian, Seks Bebas dan sebagainya. Khatib mengingatkan jemaah supaya berusaha menghindari perkara tersebut dan menyelamatkan diri, keluarga, saudara mara dan kawan-kawan dari terpengaruh dengan budaya tersebut.
Ironinya masih ada lagi di kalangan mereka yang mengaku dirinya Islam tetapi pada masa yang sama masih suka menyambut ataupun meletakkan hari Valentine 14 Februari setiap tahun sebagai hari yang dianggap istimewa. Buktinya memang jelas, salah satu akhbar tabloid harian hari ini menyaiarkan iklan sebuah syarikat produk kesihatan wanita yang diasaskan oleh seorang Datin Hajah memberikan promosi terbaik produknya sempena Hari Kekasih, dan satu artikel di ruangan artis akhbar tersebut membicarakan perasaan salah seorang artis tempatan sempena sambutan hari kekasih.


Bodoh ke apa ni? sudah pasti kedua-dua kes tersebut melibatkan seseorang yang mengaku Islam. Isu mengenai hari Valentine bukan baru. Dah bermacam-macam makluman dan peringatan yang dibuat oleh pihak berkuasa agama, namun nampaknya kebodohan, atau kejahilan ataupun ketamakan terhadap imbuhan materialistik mengatasi segala-galanya.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71, yang telah bersidang pada 24 November 2005 di Kuching, Sarawak juga telah memutuskan bahawa amalan merayakan perayaan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan DILARANG oleh islam.

Maka menyambut Hari Vaelentine seolah-olah kita menurut apa yang diamalkan oleh orang Kristian. Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, hukum itu boleh jatuh kepada mereka berdasarkan sebuah hadis sahih yang menyebut bahawa:“Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka ia turut termasuk bersama golongan tersebut.” Beliau berkata, perbuatan meraikan hari berkenaan juga akan menjadi lebih bercanggah dengan ajaran Islam terutamanya apabila ia dikaitkan sebagai usaha untuk memperingati kematian seorang paderi yang dibunuh seperti mengikut sejarah purba Rom.

Sedih..pengamal media yang terlibat nampaknya senang dan tiada halangan untuk membelakangkan ajaran islam berbanding imbuhan yang tidak seberapa sedangkan mereka sedar pemberi rezeki sebenar adalah Allah S.W.T. Buat-buat bodoh demi kepentingan ekonomi. Itulah sebenarnya mereka.
SUMBER : bolehblog.malayaonline

0 ulasan:

 
© free template by Blogspot tutorial