Sabtu, 2 Julai 2011

Tamak...

TIDAK ada ungkapan yang dapat menggambarkan bagaimana seseorang itu boleh menyerahkan wang tunai bernilai beribu, beratus ribu malah berjuta ringgit kepada seorang yang lain tanpa usul periksa akan kesahihan dokumen yang ditunjukkan melainkan hanya kerana satu sebab sahaja - tamak haloba.

Sejak akhir-akhir ini kejadian di mana penipuan menggunakan dokumen palsu untuk menjual tender kerajaan dan projek kerajaan semakin menjadi-jadi sehinggakan kita dapati, ia tidak ubah seperti menjual ais krim di tepi jalan. Begitu mudah sekali orang ditipu untuk mempercayai bahawa projek dan tender kerajaan boleh dijual dan diperolehi dengan cara memberikan wang kopi dan upah melalui agen atau orang tengah sehinggakan mereka sanggup berhabisan wang beribu-ribu ringgit kepada agen-agen ini tanpa memikirkan apakah tindakan mereka itu betul atau salah.

Ini membuktikan orang yang ada wang tidak semestinya bijak mengurus wang. Tahun lalu, seorang rakan penulis di Pulau Pinang, terpedaya dengan tipu helah satu kumpulan yang menawarkan tender baja di jabatan pelajaran negeri. Tender itu sebenarnya tidak wujud. Tetapi mereka berjaya memperdayakannya dengan berkata, jabatan hendak habiskan semua projek tahun 2010 menjelang hujung tahun yang hanya tinggal dua minggu sahaja lagi. Jika hendakkan projek itu tanpa perlu melalui proses tender seperti biasa, mereka boleh uruskan dengan syarat letak dulu ‘wang kopi’ sebanyak RM50,000. Untuk menunjukkan yang mereka itu benar-benar dari jabatan pelajaran, mereka telah mengaturkan pertemuan dengan rakan penulis di premis jabatan pelajaran negeri.

Kemudian pada Rabu lalu, di Ipoh, hasil siasatan, polis telah menemui wang tunai lebih RM1 juta yang ditanam di belakang sebuah rumah satu pasangan suami isteri yang dipercayai selama ini terlibat dalam sindiket menipu orang ramai dengan menjanjikan pelbagai projek kerajaan termasuk kononnya projek menyalurkan bekalan makanan kepada pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia serta projek Jabatan Parit dan Saliran. Itu baru wang yang ditemui disembunyikan oleh pasangan ini di belakang rumah mereka. Belum lagi wang yang dibawa lari oleh pasangan yang sedang diburu polis itu. Sebelum ini pun di Pahang, ada penipuan yang seperti ini juga dilakukan tetapi dengan menjanjikan tanah kerajaan. Jelas-jelas ini semua satu penipuan kerana mana ada projek kerajaan yang boleh diperolehi dengan cara orang tengah atau agen. Bohong semua tu!

Tetapi dahsyat sungguh rakyat Malaysia ni. Walaupun perkara ini sah-sah tidak boleh dilakukan tetapi mereka hendak cuba juga dengan harapan pelaburan beribu dan mungkin beratus ribu ringgit itu akan membawa pulangan yang lumayan. Penulis tidak sangka betul mereka tersangat pemurah dan senang ditipu dan diperdaya - hanya dengan memberi ‘wang kopi’ mereka boleh memperolehi projek bernilai berjuta ringgit. Mereka tidak terfikir ke ‘wang kopi’ yang mereka beri itu akan lesap disapu oleh penyangak-penyangak ini. Malah yang lebih menghairankan ialah mereka beranggapan, proses penganugerahan projek oleh kerajaan sama seperti kedai kopi. Order sahaja kopi pun sampai. Alahai macamana orang yang terpelajar dan ada harta tapi letak otak dekat lutut.

Untuk makluman semua, jika ada yang beranggapan projek kerajaan begitu mudah diperolehi tanpa proses tender yang sepatutnya maka mereka sebenarnya silap. Penulis pernah bekerja dengan kerajaan selama hampir enam tahun dan penulis boleh katakan di sini proses tender projek kerajaan bukannya satu proses yang mudah atau begitu mudah diperolehi. Prosesnya memakan masa berbulan-bulan malah ada bertahun. Ia perlulah melalui saluran yang betul dan ada lembaga tender yang menguruskannya. Ia tidak boleh diperolehi hanya dengan menghulurkan ‘wang kopi’ kepada agen atau orang tengah. Penulis tidak faham mengapa orang susah sangat hendak faham akan perkara ini. Yang lebih tidak faham ialah macamana orang boleh percaya yang tender kerajaan boleh diperolehi dengan cara ini. Dan mereka tidak takut walau sedikit pun yang wang mereka boleh dilesapkan dengan cara ini. Seandainya tender dan projek kerajaan boleh diperolehi dengan cara seperti ini, maka senanglah kerja para usahawan dan ahli perniagaan tak perlu ikut proses betul hanya ikut jalan belakang sahaja untuk dapat projek.

Jadi cukup-cukuplah wahai rakyat Malaysia. Kesianlah sama pada diri anda. Mungkin itu wang pencen, wang simpanan, wang asb dan asn anda. Gunakannya untuk jalan yang betul bukan dipengaruhi oleh tamak haloba untuk mencari kekayaan dengan jalan mudah.

copy : Oleh ROZAID A.RAHMAN(MSTAR.com)

0 ulasan:

 
© free template by Blogspot tutorial