Sabtu, 2 Julai 2011

Pengurus Terakhir Stesen KTM Tanjong Pagar Menitiskan Air Mata...

SINGAPURA: Tepat pada pukul 12 tengah malam Jumaat, 1 Julai 2011, Stesen Keretapi Tanjong Pagar di sini akan menghentikan operasinya selepas hampir 80 tahun menjadi jalan penghubung di antara Malaysia dan Singapura.

Bagi Samsul Bahari Sahri, pengurus stesen terbabit selama 15 tahun bermula 1992, penutupan Stesen Keretapi Tanjong Pagar yang begitu sinonim dengan kehidupannya telah meninggalkan kesan mendalam terhadap jiwanya.

"Saya tidak boleh menghadapinya (penutupan Stesen Tanjong Pagar). Saya sudah tidak boleh menangis lagi, kerana air mata saya sudah kering. Sebahagian daripada jiwa saya kosong dengan penutupan stesen Tanjong Pagar ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di stesen itu pada Khamis.

Walaupun kelihatan ceria dengan senyuman terukir di wajah ketika sibuk melayani permintaan pengunjung yang mahukan tandatangannya sebagai pengurus stesen Tanjong Pagar yang terakhir, beliau berkata perasaan dukacita sentiasa menyelubunginya.

Samsul Bahari berkata, beliau berasa amat sedih kerana Stesen Keretapi Tanjong Pagar itu merupakan suatu warisan bangsa.

"Saya merasakan suatu kegagalan kerana tidak dapat mempertahankan warisan bangsa Malaysia (di Singapura) iaitu Stesen Keretapi Tanjong Pagar. Saya sedih kerana gagal mempertahankannya," kata beliau.

Namun, katanya keputusan menutup stesen itu adalah hasil rundingan di antara kerajaan kedua-dua negara dan beliau akur dengan keputusan itu serta mematuhi arahan mengenainya.

Beliau berkata, tiket bagi perkhidmatan tren terakhir daripada Tanjong Pagar ke Johor Baharu pada pukul 10.30 malam ini sebelum stesen itu ditutup secara rasminya telah habis ditempah oleh pengguna yang tidak mahu melepaskan peluang menaiki tren terakhir itu.

Pengguna terbabit, katanya mahukan tiket yang dicop Stesen Keretapi Tanjong Pagar sebagai kenang-kenangan sempena hari bersejarah itu.

Samsul berkata 80 peratus daripada kira-kira 90 pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah pun dipindahkan, dengan hanya segelintir masih bertugas di Tanjong Pagar menjelang hari terakhirnya hari ini.

Kumpulan petugas terakhir itu masih berada di Tanjong Pagar bagi menguruskan beberapa bahagian seperti tiket serta fleet dan akan dipindahkan menerusi perkhidmatan tren terakhir ke Johor Baharu pada malam ini, katanya.

Sementara itu, suasana di Stesen Keretapi Tanjong Pagar pada hari terakhir itu sibuk dengan ratusan pengunjung melawat bangunan bersejarah itu dan membeli pelbagai cenderamata sebagai kenangan.

Pengunjung yang terdiri daripada warga Malaysia, Singapura dan asing juga tidak melepaskan peluang mengambil gambar bangunan stesen keretapi itu yang unik dengan reka bentuk seni bina "art-deco" yang mementingkan nilai-nilai kesenian.

Mereka juga mengambil kesempatan mengambil gambar keretapi yang berlepas dan baru tiba di stesen terbabit serta mengabadikan kenangan bersama pekerja KTMB yang bertugas.

Petugas media dari Malaysia, Singapura serta antarabangsa turut kelihatan membuat liputan di stesen keretapi itu. - BERNAMA

0 ulasan:

 
© free template by Blogspot tutorial