Khamis, 24 Mac 2011

Tak makan organ dalam haiwan rahsia 10A+(SPM)

PULAU PINANG 23 Mac - Amalan tidak makan organ dalaman haiwan seperti perut atau hati sejak kecil, menjadi rahsia kejayaan Muhammad Sajid Nabiel Waheed Rahman, 17, mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Anak sulung kepada pasangan usahawan dan guru itu mendapat 10A+ dalam semua 10 mata pelajaran yang diambil iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi dan Tasawwur Islam.

Kejayaan yang dicapai oleh Muhammad Sajid Nabiel, 17, itu juga meletakkannya muncul pelajar terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penang Free di sini hari ini.

Menurutnya yang bercita-cita menjadi doktor, dia mahu kejayaan yang dicapai dalam SPM itu menjadi ikutan kepada tiga adiknya iaitu Raid Symil, 16, Nor Afiqah Fazanah, 14, dan Mohd. Zaid Aqil, 11.

''Sejak zaman kanak-kanak lagi saya tidak suka makan organ dalaman seperti perut atau hati, tetapi suka makan ikan dan saya akan makan dalam kuantiti yang agak banyak," ujarnya di sini.

"Mungkin petua tersebut memberi kesan terhadap daya pemikiran dan ingatan saya," katanya yang merupakan antara 25 pelajar yang memperoleh 10A+ di negeri ini ketika ditemui di SMK Penang Free di sini hari ini.

Muhammad Sajid Nabiel, pelajar tunggal sekolahnya yang mendapat 10A+ memberitahu, kejayaannya juga adalah hasil dorongan ayah dan ibu serta guru.

''Selain usaha, saya rasa kita kena banyak berdoa, jangan tinggal sembahyang, hormat orang tua dan guru serta yang paling penting jangan menderhaka kepada ibu bapa.

''Amalan ini memberi saya ketenangan dan memudahkan setiap kali belajar," katanya sambil memandang ayahnya, Waheed Rahman Mohammad, 47, dan ibunya, Faridah Abdul Wahab, 45.

Sumber : utusan online(24/3/2011)

0 ulasan:

 
© free template by Blogspot tutorial