Di bulan Ramadhan ini kita sedang berjuang untuk membebaskan dan memerdekakan diri kita daripada sebarang dosa dan maksiat. Segala amalan kita diterima oleh Allah dan Berjaya memerdekakan diri kita daripada api neraka. Sempena bulan kemerdekaan kali ini juga marilah kita memahami erti kemerdekaan. Kemerdekaan secara umumnya dapat diertikan sebagai bebas dan lepas daripada sebarang bentuk penjajahan dan naungan serta mampu berdiri sendiri dengan tidak bergantung kepada yang lain.
Negara kita Malaysia telah mendapat kemerdekaannya secara rasmi pada 31 Ogos 1957 dalam ertikata rakyat di negara ini sudah tidak lagi dijajah oleh kuasa asing. Setelah sekian lama berada di dalam cengkaman penjajah, akhirnya umat Islam telah mendapat semula kuasa memerintah di tanahair sendiri. Sesungguhnya ini merupakan satu bentuk kemerdekaan yang perlu dipertahankan oleh setiap rakyat yang cintakan tanahairnya. Kemerdekaan ini merupakan suatu nikmat yang diberikan oleh Allah swt agar dapat disyukuri oleh setiap umat Islam yang inginkan kebebasan dan keamanan. Firman Allah swt di dalam surah An-Naml ayat ke 40;
"Dia berkata (Nabi Sulaiman), Ini ialah daripada limpah kurniaan Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. (Sebenarnya) sesiapa yang bersyukur, maka faedah syukurnya itu hanyalah kembali kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi mudarat kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Pemurah".
Persoalannya, apakah hakikat kemerdekaan yang wajib dipertahankan? Adakah memadai dengan laungan merdeka pada setiap tanggal 31 Ogos sedangkan pemikiran kita masih lagi mengikut telunjuk kuasa asing yang pernah menjajah kita suatu masa dahulu?. Apakah kita sekadar berpuas hati dengan kebebasan lahiriah sedangkan jiwa dan rohani kita masih lagi terbelenggu dengan pemikiran dan budaya negatif penjajah?.
Menurut Islam, kemerdekaan itu bererti kebebasan daripada sebarang bentuk penjajahan samada lahiriah mahupun batiniah. Namun kebebasan itu mestilah dibataskan dengan syariat Allah swt. Kebebasan itu juga bermaksud bahawa seseorang itu dapat melepaskan dirinya daripada ikatan dunia dan nafsu serta tidak tunduk melainkan hanya kepada Allah swt sebagaimana kita dididik sebulan di madrasah ramadhan ini.
Pada hakikatnya manusia tidak boleh bebas mengikut kehendaknya sendiri. Allah swt menentukan perkara yang dibolehkan dan dilarang kepada manusia demi kebaikan hidup mereka di dunia dan di akhirat. Bahkan secara fitrahnya juga manusia itu diciptakan oleh Allah swt mempunyai naluri untuk berpegang kepada agama sebagai panduan di dalam kehidupan ini. Firman Allah swt di dalam surah Ar-Ruum ayat ke 30 ;
“Maka hadapkanlah wajahmu (mengikhlaskan dirimu) ke arah agama Allah, fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada agama Allah; itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.
Manusia menurut fitrahnya memang memerlukan kemerdekaan dan kebebasan tetapi kemerdekaan dan kebebasan itu terbatas dengan syariat Allah. Sejarah perjuangan Islam telah menyaksikan bahawa Rasulullah SAW adalah merupakan utusan terakhir Allah yang berjuang membebaskan umat manusia dari penjajahan jahiliyah kepada hidayah Islam. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehinggalah mereka mengucapkan ‘La Ilaha Illa Allah’, maka apabila ia mengucapkannya maka telah terpeliharalah darah dan hartanya kecuali dengan haknya dan perhitungannya keatas Allah S.W.T”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kemerdekaan negara wajib dipertahankan daripada sebarang bentuk ancaman penjajahan. Antara ciri-ciri sebuah kemerdekaan menurut Islam sebagaimana yang diperjelaskan oleh para cendikiawan Islam adalah sebagaimana berikut ;
Pertama : Menjadikan syariat Allah swt sebagai panduan dalam menjalankan hukum sesama manusia.
Kedua : Mengamalkan konsep syura atau musyawarah dalampentadbiran negara.
Ketiga : Melaksanakan tanggungjawab dengan penuh keadilan.
Keempat : Mengutamakan kesepaduan umat.
Kelima : Melaksanakan amar ma’aruf dan nahi munkar.
Sekiranya ciri-ciri tersebut masih lagi tidak dilaksanakan di dalam sebuah negara, maka kemerdekaan itu tidak akan tercapai sepenuhnya. Usaha-usaha mestilah dilakukan agar syariat Islam itu dapat dilaksanakan secara keseluruhannya. Para pemimpin mempunyai tanggungjawab terhadap kebajikan rakyat. Manakala rakyat pula hendaklah mematuhi pemimpin di samping saling ingat mengingatkan dan memperbetulkan kesilapan pemerintahnya. Firman-Nya lagi di dalam surah Az-Zariat ayat 55;
“Teruskanlah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu
mendatangkan faedah bagi orang yang beriman”.
Syariat Islam mestilah dilaksanakan secara menyeluruh samada dalamurusan-urusan ibadat, muamalat mahupun jenayah. Ia tidak akan dianggap sempurna sekiranya hanya dilaksanakan di dalam satu-satu bahagian sahaja tanpa menyentuh bahagian yang lain. Ini bukanlah kemerdekaan yang dikehendaki oleh Islam.
Kemerdekaan yang kita pertahankan selama ini janganlah hanya kemerdekaan yang berbentuk lahiriah semata-mata meskipun kita telah berjaya mengeluarkan penjajah daripada tanahair yang kita cintai. Kita juga hendaklah mempertahankan kuasa umat Islam daripada campur tangan kuasa-kuasa asing. Kita hendaklah mempertahankan jiwa dan rohani generasi Islam daripada penjajahan hawa nafsu yang merosakkan nilai akhlak dan akidah umat Islam. Bahkan mestilah membebaskan aqidah generasi kita daripada fahaman atau ajaran yang salah dan menyesatkan.
Pengisian merdeka seharusnya diseimbangkan di antara keperluan jasmani dan juga rohani. Tiada salahnya menyambut ulang tahun kemerdekaan pada setiap tahun; yang salahnya ialah apabila pengisian itu dicemari dengan perkara-pekara maksiat dan kemungkaran. Kita hendakah mengisi kemerdekaan ini dengan amalan-amalan soleh dan perkara-perkara kebajikan yang dapat mempertingkatkan keimanan kita kepada Allah swt. Firman Allah SWT dalamsurah Ali Imran ayat 83 ;
“Apakah mereka hendak mencari agama yang lain daripada Allah? Padahal kepada-Nyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepada-Nyalah mereka dikembalikan”.
Marilah kita mensyukuri nikmat kemerdekaan dan mempertahankannya serta membebaskan diri secara zahir dan batin daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT.
“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai kota Makkah); Dan engkau melihat manusia masuk ke dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia MahaPenerima Taubat”. (An-Nasr : 1-3)
Rabu, 24 Ogos 2011
MENGHARGAI NILAI KEMERDEKAAN
Label:
Agama,
Berita dalam negeri,
Info,
Isu hangat,
media,
Panduan hidup,
Untuk renungan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan