Isnin, 14 Februari 2011

Bagaimana Mengelak Keraguan Dalam Bersedekah

“Was-was nak sedekah pada orang ni, macam tak betul je, nanti dia guna pada jalan yang salah”

“Daripada aku beri sedekah pada budak ni baik aku beri pada saluran yang betul, Tabung TV3 ke..”

“Takut terberi sedekah pada orang tak baik pula, nanti tak sampai..”

Pernah terdetik sedemikian bila nak keluarkan sedikit sumbangan yang kita panggil ia sebagai sedekah? Perasaan ragu-ragu, was-was, tak yakin… bahawa wang dari sedekah kita itu digunakan ke jalan yang betul.

Sedekah maknanya meng-infakkan harta ke jalan Allah, samada membantu orang miskin, ahli keluarga, jihad fisabilillah dan sebagainya. Secara amnya sedekah terbahagi kepada dua, sedekah wajib dan tidak wajib. Sedekah wajib disebut sebagai zakat dan sedekah tak wajib adalah sedekah yang kita keluarkan bukan atas sebab kewajipan. Namun sedekah ni pengertiannya luas. Sebarang pemberian yang membawa kesenangan kepada orang lain, termasuklah senyum dikira sebagai sedekah.

Namun sedekah dalam bentuk wang ni, memang sudah nak buat. Lagi2 sekarang ni banyak penipuan yang menggalakkan orang kita ‘bersedekah’ rupa-rupanya penipu. Lalu lebih ramai yang mengambil sikap ‘berhati-hati’ dan tidak mengeluarkan sedekah sewenang-wenang. Yang lagi parah bila perasaan prejudis timbul terhadap semua peringkat, termasuklah tabung2 yang ditubuhkan oleh kerajaan atau NGO, dengan tanggapan “Entah2 depa yang songlap duit derma semua ni”.

Patutkah kita bersikap begitu?

Ada satu kisah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. dari hadis Rasulullah SAW… Ada seorang lelaki yang berkeinginan untuk bersedekah. Maka pada satu malam dia keluar untuk memberi sedekahnya. Dia berikan kepada seorang perempuan. Esoknya orang ramai memperkatakan tentang seorang penzina yang telah diberi sedekah. Lalu dia berdoa “Ya Allah, aku telah bersedekah, tp sedekahku sampai ke tangan penzina. Aku akan beri sedekah lagi”.

Malam berikutnya beliau keluar lagi untuk bersedekah dan diberi kepada seorang lelaki. Esoknya kecoh yang seorang kaya telah diberi sedekah. Beliau berdoa lagi “Ya Allah, aku telah bersedekah, tp sedekahku sampai ke tangan orang kaya. Aku akan beri sedekah lagi”.

Dia keluar lagi dan memberi sedekahnya kepada seorang lelaki. Esoknya heboh pula tentang seorang pencuri yang mendapat sedekah. Agak kecewa, lelaki ini berdoa lagi “Ya Allah, sesungguhnya aku dah mengeluarkan sedekah, tapi sedekahku sampai ke tangan penzina, orang kaya dan pencuri..”. Kemudian beliau didatangi seseorang yang memberitahu “Sesungguhnya sedekahmu telah diterima. Mungkin perempuan zina itu berhenti dari berzina kerana sedekahmu. Orang kaya itu pula mungkin dapat mengambil pengajaran dan mahu bersedekah dengan harta yang telah dianugerahkan oleh Allah untuknya dan mungkin juga pencuri itu akan berhenti dari mencuri kerana sedekahmu itu“.

Jadi kita tak perlu ragu dengan sedekah kita. Orang yang bersedekah tetap mendapat ganjaran walaupun sedekahnya sampai ke tangan mereka yang tak sepatutnya. Bersedekah kerana Allah.

Lagi pula, tanggungjawab seorang yang bersedekah adalah memberi, dan apa yang nak dibuat dengan wang/objek yang disedekahkan itu terpulang kepada yang menerima sedekah. Dan segala akibat kemudian ditanggung oleh di penerima sedekah yang menggunakan hasil sedekah itu.

Rasulullah bersabda “Tiap muslim wajib Bersedekah”. Para sahabat bertanya “Bagaimana kalau dia tidak memiliki sesuatu?” Baginda menjawab, “Bekerja dengan kekuatan tangannya untuk kemanfaatan bagi dirinya lalu bersedekahlah” Mereka bertanya lagi. “Bagaimana kalau dia tak mampu?” Nabi menjawab “Menolong orang yang memerlukankan yang sedang teraniaya” Mereka bertanya lagi “Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?” Nabi menjawab “Menyuruh berbuat ma’ruf (kebaikan) ” Mereka bertanya lagi “Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?” Nabi menjawab, “Mencegah diri dari berbuat kejahatan itulah sedekah.”
(HR Bukhari dan Muslim)

0 ulasan:

 
© free template by Blogspot tutorial