Islam menganjurkan umatnya agar sentiasa berusaha mencari ilmu pengetahuan disamping berusaha untuk mempertingkatkan kemahiran dan penguasaan diri dalam pelbagai bidang. Ilmu pengetahuan merupakan kunci kepada kebahagiaan hidup manusia di dunia, kerana tanpa ilmu kemungkinan kita pada hari ini masih lagi berada dalam kemunduran dan kemiskinan. OIeh itu, jelaslah kepada kita bahawa ketinggian ilmu pengetahuan merupakan ukuran yang sangat penting dalam membezakan antara baik dan buruk, kaya dan miskin, maju dan mundur bagi sesuatu bangsa dan negara.
Para guru dan pendidik sebagai golongan yang teramat penting dalam pembangunan dan perubahan umat sejagat. Guru diumpamakan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan atau pun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuannya.
Tanggal 16 Mei setiap tahun, adalah tarikh Sambutan Hari Guru di negara kita. Warga Guru dirai,dihargai dan dikenang jasa mereka. Sebagai guru mereka telah mendidik anak bangsa menjadi insan berguna. Mereka adalah insan yang sungguh mulia, yang telah diamanahkan untuk menyampaikan ilmu dan memartabatkan ummah. Peranan mereka amat penting, bukan sahaja menyampaikan pengetahuan fadhu ain atau fadhu kifayah, tetapi memastikan akidah kita mantap, iman kita bertambah dan jauh dari kesesatan. Malah guru wajar menjadikan Rasulullah sebagai pendidik yang terbaik.
Menurut kacamata Islam, guru bukan sekadar menjadi mudarris (pendidik), tetapi guru juga sebagai mu’allim (iaitu penyampai yang benar), sebagai murabbi (pengasuh dan pendidik anak-anak dengan kasih sayang), sebagai muaddib (pembentuk adab dan akhlak anak-anak) dan sebagai mursyid (iaitu pembimbing ke arah kebenaran). Warga guru juga harus sentiasa berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan secara berterusan, kerana ilmu itu sangat luas dan perlu diterokai.
Telah terbukti, bahawa sumbangan dan pengorbanan guru pada hari ini tidak ternilai banyaknya.Saban hari para guru melaksanakan tugasnya tanpa mengenal erti jemu, tidak tentu waktu dan sentiasa sabar menanti kejayaan serta kecemerlangan anak didiknya. Guru sering diumpamakan seperti sebatang lilin, “Membakar diri menerangi orang lain".
Sesungguhnya guru adalah seorang yang unggul, penting lagi mulia. Tidak akan lahir seorang ‘ulama’ tanpa guru, tidak akan ada seorang doktor tanpa guru, tidak akan ada seorang jurutera tanpa guru, tidak akan ada seorang arkitek tanpa guru, malah tidak akan ada seorang pemimpin berwibawa tanpa guru.
Sempena dengan Sambutan Hari Guru diharapkan para guru sentiasa berazam untuk melengkapkan diri sebagai guru yang cemerlang demi mencapai matlamat yang diharapkan. Sentiasa diberi kekuatan dalam menghadapi sebarang masalah ujian dan dugaan yang semakin hari semakin mencabar. Maka sebagai pendidik haruslah bersabar dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.
Ahad, 16 Mei 2010
Selamat menyambut Hari Guru
Label:
Berita dalam negeri,
Info,
Panduan hidup,
Untuk renungan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan