Adalah satu hakikat bahawa ibu mempunyai kedudukan yang lebih tinggi berbanding bapa. Berdasarkan sifat dan naluri keibuan, maka tidak hairan anak-anak lebih mengasihi, dan mengingati serta sering menyebut nama ibu berbanding bapa.
Jika sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Kalau hendak makan, kita lebih suka ibu yang masak dan suapkan. Kalau ingin tidur, kita mahu ibu yang tidurkan. Kalau ingin berkahwin, ibu juga yang kita risaukan. Malah sehingga saat menghadapi kematian pun, kita akan menyebut nama ibu.
Kuatnya ingatan anak-anak kepada ibu ialah kerana ibulah yang mengandungkan kita, ibu yang menyusukan kita, ibu yang menyuapkan kita makan dan minum, ibu yang mendodoi dan menidurkan kita, ibu yang membersihkan najis dan segala kotoran di badan kita. Oleh itu, wajarlah Allah s.w.t. memuliakan ibu.
Kes penderhakaan masih berlaku dalam masyarakat kita terhadap ibu. Antaranya ada yang menunjukkan kedegilan melawan cakap ibu, lari meninggalkan rumah kerana tidak suka dinasihati ibu, membiarkan ibu yang sakit bersendirian, meminggirkan ibu tanpa khabar berita, mengherdik ibu, mengkhianati harta benda ibu, menjadikan ibu sebagai orang gaji, malah ada yang sanggup memukul ibu.
Apa yang ganjilnya, ada segelintir dari kalangan kita yang berebut-rebut mencium tangan orang lain tetapi jarang sekali mencium tangan ibu sendiri yang sebenarnya ada keberkatan.
Jika anda masih mempunyai ibu marilah kita bersegera mengubat kerinduan ibu sebelum mereka didatangi ajal. Gembirakanlah mereka dan carilah keredhaan mereka serta perbanyakanlah doa keampunan kepada mereka. Budayakanlah amalan memuliakan dan menghormati ibu di sepanjang kehidupan kita dan janganlah hanya dibuat pada masa-masa tertentu sahaja.
-----------SELAMAT HARI IBU-----------
Isnin, 10 Mei 2010
HATI SEORANG IBU
Label:
Panduan hidup,
Untuk renungan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan