Khamis, 28 Mei 2009

Tidak! Chin Peng

PUTRAJAYA 27 Mei - Pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng tidak dibenarkan kembali ke negara ini, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, kepulangannya jika dibenarkan hanya akan menimbulkan rasa tidak puas hati terutama kepada ahli-ahli keluarga mereka yang terkorban semasa era Darurat antara 1948 hingga 1960.

''Kerajaan tidak benarkan Chin Peng balik ke negara ini sebab ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati terutama kepada mereka yang terkorban dan ahli-ahli keluarga mereka yang telah terkorban dalam waktu darurat dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan pelantikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara di pejabatnya di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas permintaan Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan baru-baru ini agar kerajaan membenarkan bekas pemimpin PKM itu pulang ke Malaysia.

Hock Nan membuat permintaan itu atas alasan kemanusiaan di samping mendakwa Chin Peng bukan lagi ancaman keselamatan kepada negara.

Kenyataan pemimpin Gerakan itu mendapat bantahan keras daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang berasakan permintaan tersebut tidak tepat.

Kira-kira 2,500 orang awam dan 1,865 anggota pasukan keselamatan terbunuh di tangan PKM diketuai Chin Peng semasa era keganasan kumpulan pengganas itu antara 1948 sehingga mereka meletakkan senjata pada 1989.

Utusan Malaysia Online.

0 ulasan:

 
© free template by Blogspot tutorial