Khamis, 1 Disember 2011

Kawal anak-anak ketika guna Internet

Telah terbukti dan nyata Islam adalah agama yang sesuai sepanjang zaman. Kesesuaiannya bukan penghalang kepada kemajuan dan bukan penyebab kepada kemunduran. Pada zaman yang serba maju ini berbagai-bagai peralatan telah dicipta dan diubah untuk membantu manusia agar lebih pantas dan cekap menangani permasalahan dunia.

Antara yang menonjol dan terkini ialah alatan komputer dan ciptaan Internet. Berbagai-bagai ilmu dan maklumat dapat dijana dengan kemajuan teknologi maklumat (IT). Internet mampu membawa kita meneroka ke seluruh pelosok dunia dengan hanya duduk di rumah tanpa perlu melakukan banyak kerja dan belanja.

Walau bagaimanapun, setiap yang ada pasti ada keburukannya. Kawalan dan seliaan yang baik perlu diperhatikan agar ia tidak membawa kemudaratan dan keburukan. Generasi muda harus dididik dengan iman dan takwa bagi mengelakkan mereka terjebak dengan perkara-perkara yang tidak baik.

Hanya melalui ilmu seseorang itu dapat memahirkan diri dengan teknologi baru. Tanpa ilmu dan juga kemahiran semua ini tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Kata-kata: “Tuntutlah ilmu hingga ke Internet”. Hal ini membawa maksud bahawa melalui Internet juga banyak ilmu baik yang harus diketahui dan dipelajari.

Jika dahulu Nabi SAW pernah berpesan: “Tuntutlah ilmu hingga ke negara China” yang membawa maksud, di negara China itu telah terbukti banyak ilmu dan tamadun awal yang seharusnya dipelajari dan dimanfaatkan.

Justeru, Internet merupakan senjata bermata dua, satu pendekatan yang mempunyai dua wajah yang bertentangan. Di dalamnya terdapat unsur keburukan, godaan dan tidak kurang juga kebaikan. Internet mempunyai daya tarikan, keberkesanan, mudah dicapai, dilayari bersifat interaktif menjadikan ia alat terkini dari segi kesan dan ruang cakupan.

Ilmu yang berteraskan keimanan dapat menjadi benteng kepada keburukan, godaan yang terdapat dalam Internet. Anak-anak remaja 12 hingga 17 tahun mudah terdedah dengan hiburan, muzik, games, gaya hidup dan bahan-bahan lucah jika tidak dipantau.

Peranan dan tanggungjawab ibu bapa sangat penting dalam mengawal penyalahgunaan Internet. Kebimbangan ibu bapa ini sering menjadi igauan dan mimpi buruk kepada mereka, terutama bagi mereka yang tidak memahami komputer dan Internet. Mengawal aktiviti anak-anak adalah dengan memantau penggunaannya. Jangan biarkan anak-anak melayari Internet seorang diri di dalam bilik.

Kaji selidik di Britain kanak-kanak melayari Internet untuk gambar lucah. Sebanyak 23 peratus dari 4.8 juta kanak-kanak Britain yang berusia 16 tahun adalah pengunjung tetap bilik sembang. Jumlah pengguna Internet bawah 17 tahun di Britain meningkat hampir dua kali ganda iaitu dari 1 juta kepada 1.5 juta pada Mac 2002. Pada masa kini angka itu tentulah lebih dua kali ganda.

Di Malaysia tiada kajian tentang perkara ini, namun dikatakan pelajar yang selalu bermain komputer juga sering terdedah dengan laman lucah yang boleh melalaikan mereka untuk menumpukan pelajaran. Ibu bapa dan guru seharusnya selalu mengingat dan menasihati anak-anak tentang keburukan ini.

0 ulasan:

 
© free template by Blogspot tutorial