Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Empat perkara yang menjadi sunah rasul ialah; memakai inai, memakai wangi-wangian, bersiwak dan berkahwin”. (Hadith riwayat al-Tirmizi). Menyentuh soal mendirikan rumah tangga, ada yang menggaru kepala memikirkan bajet untuk menjalankan majlis perkahwinan. Sekurang-kurangnya perlu ada wang dalam tangan RM20,000 untuk menguruskan mak andam, pelamin, khidmat jurugambar, katering, cenderahati tetamu, kad pengantin, wang hantaran, mas kahwin dan urusan nikah.
Akibat terlalu banyak kos yang hendak dikira, ada kalanya membantutkan niat untuk melangkah ke alam baru sebagai pasangan suami isteri. Apakah matlamat perkahwinan tersebut dan bagaimana memudahkan pelaksanaannya dalam masyarakat Islam pada zaman serba moden ini?
Pensyarah Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Wan Nordin Wan Abdullah, 39, berkongsi maklumat mengenai status sebenar sesebuah perkahwinan yang diredai ALLAH. Islam itu sempurna dan akan menyempurnakan hidup penganutnya. Ia merangkumi seluruh aspek dalam apa jua tindakan dilakukan. Agama ALLAH itu menggalakkan perkahwinan dan menganggapnya sebagai sunah Nabi dan Rasul.
Wan Nordin menjelaskan bahawa ALLAH yang Maha Bijaksana meletakkan perkahwinan sebagai satu peraturan bertujuan mengawal hubungan antara jantina lelaki dan perempuan. Perkahwinan disyariatkan dengan hikmatnya yang tersendiri berlandaskan etika tertentu. Ia adalah satu keperluan sosial untuk membina kehidupan dengan pembentukan keluarga dan rumah tangga.
“Perkahwinan adalah proses pembinaan organisasi yang lebih kukuh, ikatan serta hubungan yang erat, unsur kemantapan, kestabilan sosial, ketenangan fikiran dan keharmonian jiwa.
“Berfungsi sebagai memenuhi keperluan naluri manusia yang dianugerahkan Tuhan kepada mereka. Sikap saling melengkapi antara jantina berbeza perlu melalui fasa perkahwinan, barulah ia dikategorikan halal dan sah daripada sudut hukum,” katanya. (read more)
“Sementara mas kahwin isteri-isteri Baginda yang lain tidak melebihi 12 auns emas. Begitu juga ketika mengahwinkan puteri baginda. Rasulullah juga pernah memerintahkan sahabat Baginda yang ingin berkahwin tetapi tidak mempunyai harta dengan mengambil cincin besi sebagai mas kahwin.
“Pernah juga Rasulullah menasihati sahabat agar menjadikan al-Quran yang dihafalnya sebagai mas kahwin untuk bakal isterinya. Mudah bukan? Adakah ia seperti zaman sekarang?” kata Wan Nordin.
Rata-rata masyarakat kini memandang gerbang perkahwinan itu perlu dimulakan dengan majlis besar-besaran yang menelan perbelanjaan ribuan ringgit sekali gus menjadikan amalan berhutang sebagai perkara biasa. Wan Nordin berkata, fenomena yang berlaku dalam masyarakat hari ini ialah terdapat institusi keluarga yang dibentuk tidak mampu bertahan lama seperti yang dikehendaki dalam syariat Islam. Sedangkan belanja persiapan dan pelaksanaan perkahwinan serta mas kahwin pula menelan kos yang begitu besar.
“Ada juga sengaja berbelanja besar dan boros semata-mata menjaga status dan kedudukan mewah mereka. Keadaan yang berlebih-lebihan, melampau dan membazir ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.
Wan Nordin berkata, Islam memudahkan urusan perkahwinan dan menggesa umatnya agar menanganinya dengan penuh berhemah dan berhikmah. Antaranya tidak meletakkan mas kahwin yang terlalu tinggi untuk mengahwinkan anak perempuan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya perempuan yang paling berkat ialah yang paling sedikit mas kahwinnya dalam antara mereka”. (Diriwayatkan Imam Ahmad daripada hadith Saidatina Aishah),
Mungkin disebabkan keberkatan daripada ALLAH SWT sudah dinafikan, akibatnya masyarakat hari ini berhadapan dengan seribu satu masalah seperti keretakan dan keruntuhan rumah tangga, perceraian dan penderaan pasangan.
Wan Nordin menambah, setiap individu dalam masyarakat berperanan untuk memulihkan keadaan ini sama ada bakal pengantin, ibu bapa, keluarga, masyarakat atau pihak berwajib.
“Jadikan matlamat pembentukan mahligai kasih ini untuk mencapai keredaan ALLAH, di samping mencari sebuah kekuatan untuk melaksanakan tugas sebagai khalifah ALLAH di dunia yang sementara ini,” katanya.
“Institusi perkahwinan adalah terunggul dalam kehidupan manusia kerana ianya diiktiraf sebagai pembina tamadun dan penghubung serta melahirkan sikap tanggungjawab pasangan dalam menunaikan kewajipan masing-masing dengan memelihara kehormatan diri dan generasi.
“Islam tidak memandang remeh mengenai isu perkahwinan ini kerana melalui perkahwinan bertindak sebagai jalan pencegahan terjadinya gejala sosial seperti yang berlaku pada hari ini,” kata Nabilah.
Beliau berkata, matlamat perkahwinan adalah untuk menzahirkan tanda ketaatan seorang Muslim terhadap perintah ALLAH. Namun di sebalik ketaatan tersebut tersembunyi hikmah yang tersurat dan yang tersirat. Ramai ulama dan sarjana Islam membincangkan mengenai hikmah pensyariatan perkahwinan, namun ia hanya terbatas pada perkahwinan yang mengikut lunas Islam.
Antara hikmah tersebut: Pertama, perkahwinan merupakan satu institusi mulia yang dapat mengeratkan keluarga, menyucikan jiwa serta mengawal nafsu daripada terus memandu manusia mendekati perkara mungkar yang ditegah,” katanya panjang lebar.
Nabilah berkata, hakikatnya perkahwinan dapat merangsang ketenangan, kedamaian dalam jiwa pasangan, membibitkan kasih sayang, kemesraan dan keceriaan ke atas pasangan.
“Hikmah kedua menjelaskan mengenai institusi perkahwinan sebagai istana harapan untuk didiami oleh zuriat yang terpelihara keturunannya. Manakala kepentingannya yang ketiga adalah sudah menjadi fitrah manusia untuk hidup berpasangan.
“Semua ciptaan ALLAH dalam keadaan berpasangan, apatah lagi manusia yang berkombinasi akal dan nafsu. Dengan perkahwinan dapat menghindari kita daripada terjerumus ke lembah maksiat,” katanya.
Baginda bersaba yang bermaksud: “Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya; kerana keturunannya; kerana kecantikannya; kerana agamanya. Pilihlah oleh mu wanita yang beragama nescaya kamu berbahagia” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Sebaik akad nikah selesai, terpahatlah tanggungjawab di bahu lelaki itu dan pasangannya untuk membina keluarga mengikut syariat Islam. ALLAH mensyariatkan perkahwinan supaya manusia dapat menghindari kemungkaran dalam pergaulan sama ada antara sesama jantina ataupun berlawanan.
“Perkahwinan berlandaskan syariat dan mematuhi akhlak Islam dapat menjamin ketenangan pasangan, malah sebagai tempat mencurah kasih sayang, menepati kehendak fitrah manusia.
“Justeru, perkahwinan digalakkan bagi menyelesaikan kemelut masalah sosial masa kini yang kian meruncing ekoran kegagalan setiap individu yang terbabit menghayati erti perkahwinan,” kata Nabilah lagi.
Pasangan akan lebih bertanggungjawab dan menunaikan kewajipan masing-masing apabila kasih sayang mereka dimeterai dengan satu akad perkahwinan yang mempunyai kesan undang-undang sekiranya berlaku pengabaian tanggungjawab, tambahnya.
Info : SinarHarian.
0 ulasan:
Catat Ulasan