Isnin, 3 Januari 2011

TAHUN BARU 2011: JAUHI ZINA

Saban tahun setiap kali sambutan tahun baru diadakan, kedengaran pelbagai isu terutama yang melibatkan gejala sosial dalam masyarakat oleh sebahagian remaja bahkan orang dewasa seperti pergaulan bebas yang menyebabkan pelbagai gejala tidak baik seperti zina,hubungan seks bebas dan sebagainya atas alasan kerana menyambut kedatangan tahun baru.

Zina diertikan sebagai hubungan terkutuk dan merupakan antara tujuh dosa-dosa besar di sisi Islam. Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang menyentuh tentang dosa perbuatan zina. Zina adalah perbuatan yang sangat keji kerana ia membawa kepada jalan kebinasaan, kehancuran dan kehinaan didunia dan azab di akhirat. Ini antaranya firman Allah S.W.T. di dalam surah Al-Isra’ ayat 32; “Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan)”.

Perbuatan salah laku zina, homoseks dan lesbian adalah berpunca daripada perkembangan teknologi dan komunikasi masa kini yang gagal dikawal sepenuhnya. Pelbagai jenis gambar lucah sama ada dalam bentuk foto mahu pun video terlalu mudah diakses melalui internet. Sebahagian rancangan televisyen pula banyak menyajikan kisah-kisah percintaan yang hanya menambahkan rasa ghairah penonton. Manakala gejala-gejala hiburan melampau yang mer angsang nafsu dan menjadi keseronokan seolah-olah telah menjadi budaya kehidupan seharian. Telefon mudah alih juga telah disalahguna dengan mengirim gambar atau video lucah.

Antara langkahlangkah yang dapat kita dilakukan segera oleh umat Islam ialah:
Pertama Di tahun baru sebaiknya kita mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan membaca Al-Quran dan menghidupkan budaya ilmu di kalangan umat Islam. Peranan institusi keluarga mentarbiyah dan mengawasi pergerakan anak-anak mestilah dipertingkatkan dan memastikan hanya Islam sebagai asas pembinaan keluarga ke arah pembinaan“ Baiti Jannati ” iaitu (Rumahku Syurgaku).

Kedua Pembentukan insan soleh oleh institusi pendidikan hendaklah ditingkatkan, bukan hanya menyampaikan ilmu tetapi melahirkan kesedaran dan kefahaman yang boleh memandu generasi pelajar ke arah mencapai kehidupan yang berlandaskan agama. Forumforum dan pengajian agama di masjid dan surau hendaklah dihadiri demi membentuk jatidiri insan yang mulia disisi Allah.

Ketiga Setiap individu hendaklah berperanan membendung gejala pergaulan bebas di kalangan remaja dan semua peringkat umur. Konsep “ Ad-Din Nasihah” iaitu (Agama Itu Nasihat). Penyusunan aktiviti dan program hendaklah dilaksanakan bagi membendung gejala-gejala ini. Peranan Masjid, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung dan ahli masyarakat hendaklah proaktif dalam melaksanakan tanggongjawab yang telah ditetapkan.

Keempat Pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang berlandaskan Islam dan kerjasama yang bersepadu melibatkan semua pihak untuk membanteras kegiatan pelacuran segala bentuk jenayah syariah akan terus dipertingkatkan dari masa ke masa. Seharusnya semua pihak hendaklah menyokong usaha itu dan bukannya mencela atau mempersoalkannya di media-media.

Kelima Mengamalkan cara hidup Islam dengan menggalakkan pasangan belia yang telah cukup syarat untuk berkahwin kerana hanya sistem perkahwinan dapat membendung pelakuan zina, homoseks dan lesbian. Dengan cara inilah mereka akan mendapat nikmat perhubungan suami isteri yang sah dan zuriat yang suci untuk menyambung keturunan mereka.

Keenam Meyakini dengan pendekatan Islam sahajalah yang mampu menyelesaikan masalah ini. Pihak berkuasa pula hendaklah memainkan peranan yang amat penting bagi melaksanakan hukum Islam dalam usaha menegakkan yang ma’aruf dan mencegah yang mungkar. Pihak kerajaan juga disarankan untuk melaksanakan beberapa langkah pencegahan gejala seks bebas daripada terus berleluasa:
1. Membenarkan pihak polis memeriksa telefon bimbit remaja atau pelajar sekolah untuk mengelakkan mereka daripada menyimpan bahan-bahan lucah.
2. Menguatkuasakan peraturan bagi menghalang remaja bawah umur 18 tahun keluar rumah selepas jam 12 malam.
3. Menyekat laman web lucah, mengawal siber kafe dan penjualan perisian tidak bermoral.

Setiap kali perubahan waktu, hari dan tahun yang di tinggalkan seharusnya bersikap ”hari ini adalah lebih baik dari semalam” dan memperkuatkan azam serta berdoa kehadrat Illahi bagi mengharungi sepanjang tahun dengan amal yang mulia. Seorang Muslim yang kuat mempunyai semangat serta keazaman yang tinggi untuk mencapai kejayaan. Minda umat Islam perlu disi dengan pelbagai ilmu dan kemahiran. Tidak kira apa jua kerja yang diceburi, seharusnya ia memberi manfaat kepada diri dan agamanya. Masa yang terluang perlu disi dengan kerjakerja yang bermanfaat. Inilah antara azam yang perlu kita terapkan sempena kedatangan Tahun Baru 2011. Usah biarkan diri kita dilalaikan lagi dengan budaya hiburan dan keseronokan yang sementara. Kepada anak muda, merekalah harapan umat Islam dan kepimpinan negara.

---------------------SELAMAT TAHUN BARU 2011------------------------

0 ulasan:

 
© free template by Blogspot tutorial