Palestin telah melalui sejarah yang panjang dalam catatan tamadun manusia dan menjadi rebutan kepada tiga agama, iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Namun demikian Palestin mempunyai kedudukan yang istimewa dihati setiap muslim sejak zaman berzaman. Keistimewaan Palestin ialah kerana hubungannya dengan masjid al-Aqsa. Masjid ini mempunyai lima keistimewaan iaitu, pertama : menjadi salah satu daripada tiga masjid paling suci selepas masjidil Haram Mekah dan masjid Nabawi Madinah, kedua: kiblat pertama umat Islam, ketiga: masjid yang kedua dibina atas muka bumi selepas 40 tahun pembinaan masjidil Haram, keempat: tempat berlakunya Isra’ Mikraj dan kelimanya: masjid al-Aqsa menjadi harta waqaf umat Islam sepanjang zaman.
Kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis kepada rakyat Palestin bermula dalam tahun 1948 apabila wujudnya negara haram Israel dibumi Palestin dengan pertolongan negara Barat terutamanya British dan Amerika Syarikat. Apa yang sebenarnya berlaku di Palestin bukanlah isu-isu kemanusiaan semata-mata tetapi lebih daripada itu. Ia melibatkan isu menyayat hati kaum muslimin apabila kezaliman Zionis yang menghina akidah umat Islam, rakyat Palestin diseksa, dizalimi dan dibunuh seperti haiwan dan bangsa Palestin diaibkan, dimalukan secara terbuka kepada masyarakat dunia tanpa mendapat pembelaan sewajarnya.
Berdasarkan penganalisis politik antarabangsa kerajaan zionis Israel adalah kerajaan yang kebal, berada diatas undang-undang antarabangsa dan boleh bertindak sesuka hati kerana ia dinaungi oleh kuasa barat.
Sejak penubuhan negara Israel hingga kini iaitu 60 tahun yang lalu, rejim Zionis sedang berusaha keras untuk menghapus bersih bangsa dan tamadun Palestin. Pada tahun 1969 puak Zionis membakar masjid al-Aqsa yang suci. Usaha terus dibuat hingga ke hari ini untuk meruntuhkan masjid dengan beransur-ansur menggali terowong-terowong dibawah masjid al-Aqsa supaya masjid ini runtuh dengan sendirinya. Tapak masjid ini akan digantikan dengan kuil Yahudi Haikal Sulaiman. Pada masa ini masjid ini masih dikepong dan hanya umat Islam yang berumur 45 tahun keatas dibenarkan solat di masjid ini. Di saat ini juga masjid-masjid lain di Palestin telah ditukar menjadi kelab malam, panggung wayang dan kandang-kandang lembu.
Bumi Palestin dinodai. umat Palestin dinafikan haknya. Rakyat Palestin menangis kesedihan kerana mereka yang serba kekurangan dari semua sudut, berjuang bersendirian untuk mempertahankan masjid al-Aqsa dan wilayah-wilayah yang ditakluki oleh rejim Zionis. Dalam perkembangan terbaru pula rejim Zionis sedang melakukan kepungan dari darat dan laut di semenanjung Gaza supaya penduduk Gaza mati dalam kelaparan. Sesungguhnya kekejaman Zionis pasti akan berterusan dan tiada penamatnya kecuali rakyat Palestin berlutut kepadanya.
Apa yang memeritkan tatkala masyarakat Islam masyarakat antarabangsa seluruh dunia menghantar misi bantuan kemanusiaan melalui darat dan laut kepada rakyat palestin, rejim Zionis menghalang serta melakukan pembunuhan keatas sukarelawan yang terlibat dalam misi kemanusian tersebut. Sudah tentunya masyarakat Islam merasa kecewa dengan kekejaman yang menimpa fortila-fortila yang melaksanakan misi ini kerana apa yang dilakukan oleh sukarelawan ini merupakan sebahagian daripada bantuan kemanusiaan yang merentasi sempadan agama, bangsa dan negara.
Negara Israel sebuah Negara yang kecil, tetapi rejim Zionis yang disokong kuat oleh kuasa besar barat agak sukar dikalahkan. Walhal negaranya dan penduduk yang sedikit. Di manakah salah dan silapnya? Kita perlu membataskan kebergantungan kita dengan orang lain dan kembali mengukuhkan hubungan kita dengan Allah SWT. Sikap ini perlu dibebaskan daripada jiwa kita dan kita wajib membantu rakyat Palestin dengan apa jua cara tindakan.
Sesungguhnya umat Islam wajib bersatu untuk mempertahankan Islam dan tidak bergantung harap kepada bantuan orang bukan Islam untuk menyelamatkan maruah Islam. Sikap tidak peduli umat Islam tentang persoalan akidah, ibadah, syariat dan akhlak akan menjerumuskan umat Islam dibawah telunjuk Zionis dan pakatan mereka. Pemimpin dunia Islam perlu bangkit dan memberi sokongan kepada segala usaha untuk menyelamatkan saudara seagama demi mempertahankan Islam dan tanah air.
setinggi-tinggi penghargaan kepada sukarelawan kemanusian Gaza samada yang beragama Islam atau bukan Islam atas usaha yang dilakukan dengan mengumpul bantuan dan dana serta sanggup berkorban nyawa, tenaga bagi membantu penderitaan dan menyelamatkan rakyat Palestin. kita berdoa agar mereka diberi kekuatan berpanjangan untuk meneruskan misi kemanusian ini. Sesungguhnya misi ini telah membuka mata masyarakat dunia tentang kekejaman rejim Zionis.
Sabtu, 12 Jun 2010
SELAMATKAN PALESTIN
Label:
Isu hangat,
Luar negara,
Untuk renungan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan