Perkahwinan adalah jalan kebahagiaan. Iaitu jalan yang telah disyariatkan oIeh Allah Subhanahu Wata'ala. Bagi memberi jalan kebaikan kepada umat manusia agar sentiasa hidup dalam ketenangan. Perkahwinan bukan sahaja dikira sebagai ibadah bahkah sebenarnya ia juga bagi memenuhi fitrah manusia untuk hidup berpasang-pasangan. Ia juga adalah cara bagaimana Allah mengangkat martabat manusia itu berbeza dari makhluk-makhluk-Nya yang lain. Perkahwinan yang dibina oIeh dua insan yang berbeza dari segi fizikal, mental dan latar belakang kehidupan, akan menjadi pasangan yang serasi, penuh kasih sayang dan lebih penting ialah ia akan diberi ketenangan dalam kehidupan. Ketenangan itu pula nanti akan menambah lagi keimanan, kerana dengan syariat perkahwinan ini akhirnya kita menjadi mahkluk yang berfikir betapa besar dan agungnya Tuhan yang Maha Esa.
Perkahwinan adalah ketenangan, cinta-mencintai dan belas kasihan. Namun begitu, yang terjadi dalam masyarakat kita sekarang,mendukacitakan. Apa yang terpapar dalam media ialah perkahwinan atau rumahtangga yang dibina telah dijadikan medan persengketaan yang terjadi antara suami atau isteri. Kes-kes yang melibatkan konflik rumahtangga seperti nusyuz (derhaka), syiqaq (pertengkaran) dan dharar (penganiayaan). Lebih dahsyat lagi apabila konflik tersebut berakhir dengan pembunuhan yang memberi gambaran buruk dan tragis dalam sebuah perkahwinan.
Di antara sebab berlakunya masalah rumahtangga ini ialah kesilapan pasangan dalam memilih jodoh. Ini kerana pemilihan jodoh tidak berdasarkan apa yang dianjurkan oIeh Rasulullah s.a.w.:
Maksudnya : "Dikahwini akan perempuan itu kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah dari kalangan mereka yang beragama, nescaya akan selamat.
Hadith tersebut jelas menunjukkan betapa anjuran Islam sangat mementingkan pemilihan jodoh bukan sekadar memandang harta kekayaan, bukan sekadar mengambil kira keturunan yang mulia dan bukan juga sekadar melihat paras rupa yang cantik, tetapi sebenarnya pilihlah yang beragama. Ini kerana kita semua maklum bahawa harta, keturunan dan paras rupa hanya bersifat sementara tetapi agamalah yang kekal abadi. Agama akan membentuk akidah. Agama melatih melalui ibadah dan kesan kehidupan beragamalah akan melahirkan akhlak mulia. Akidah, ibadah dan akhlak merupakan ramuan penting kerana gabung jalin inilah yang akan membentuk tanggungjawab yang istiqamah. Maka apabila Firman Allah diimani dan dihayati, apa yang akan dilihat nanti ialah suami isteri itu sentiasa bekerjasama dalam kehidupan serta saling memerlukan.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 187:
Maksudnya: "Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian kamu dan kamu pula pakaian bagi mereka".
Perumpamaan ini adalah contoh yang paling sesuai dalam menggambarkan betapa akrabnya hubungan sesebuah rumahtangga. Cacat pakaian tersebut maka cacatlah pandangan kepada si pemakainya. Malah pakaian juga akan menambah keyakinan diri pemakainya. Apabila suami isteri saling memahami tentang perkara ini sudah tentulah tiada siapa yang sanggup menyakiti antara satu sama lain.
Antara lain perkara yang perlu kita ambil perhatian penting ialah perlunya setiap ahli keluarga khususnya pihak wali perkahwinan memastikan agar jodoh yang dipilh oIeh anak-anak yang ingin mendirikan rumahtangga mempunyai ilmu fadhu ‘ain, pengetahuan agama yang cukup dan perlu bertanya tentang amal ibadatnya. Ini kerana jika gagal melunaskan tuntutan kewajipan fadhu ‘ain ini, suami pasti gagal sebagai suami yang soleh dan isteri bakal gagal sebagai isteri yang solehah.
Perlu juga disedari bahawa tujuan perkahwinan juga adalah untuk merapatkan ukhuwwah. Ukhuwwah adalah perkara yang paling penting dalam perjuangan Islam. Sebab itu kerana ukhuwwah umat Islam pada satu ketika dahulu berjaya dalam segenap misi dakwahnya. Malah perkahwinan juga antara cara dakwah yang telah digunakan oIeh para pendakwah. Tidak mungkin cara ini boleh berjaya jika perkahwinan yang dibina tidak bahagia.
Kegagalan perkahwinan boleh membawa kegoncangan ukhuwwah di kalangan kita. kerana konflik rumahtangga biasanya membawa luka dan perasaan tidak selesa di kalangan pasangan. Rumahtangga itu umpama bangunan dan bangunan yang kukuh adalah kerana ikatan konkritnya. Konkrit yang dimaksudkan ialah ukhuwwah. Ukhuwwah yang paling baik antaranya ialah melalui jalan perkahwinan. Janganlah nanti masalah rumahtangga menjadi seperti anai-anai yang akan meruntuhkan bangunannya.
Menjadi kewajipan kepada kita semua membina keluarga bahagia. Keluarga bahagia bermakna keluarga yang beragama. Keluarga yang bahagia juga ialah gambaran sebenar ajaran Islam yang menyusun cara atau sistem dalam mengurus kehidupan. OIeh yang demikian, marilah kita menjadikan agama sebagai asas dalam membuat pertimbangan untuk memilih jodoh.
Khamis, 17 Jun 2010
MEMILIH PASANGAN HIDUP YANG BERAGAMA
Label:
Panduan hidup,
perkahwinan.,
Untuk renungan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan