Ajaran Islam telah menetapkan bahawa aktiviti amar makruf (menyuruh melakukan kebaikan) dan nahi munkar (mencegah melakukan kejahatan) adalah suatu tuntutan atau agenda tertinggi dalam Islam. Berdasarkan keperluan yang amat penting inilah maka Allah SWT mengutuskan Rasul-rasulnya di atas muka bumi ini. Andaikata aktiviti amar makruf dan nahi munkar ini dilengah-lengahkan atau tidak dipedulikan, maka akan menyaksikan budaya jahiliyah bermaharaja lela, persekitaran kediaman dan tempat kerja tidak selamat serta masyarakat semakin rosak .
Persoalan besar timbul ialah mengapa terdapat di kalangan kita tidak mempedulikan dan melengah-lengahkan melaksanakan amar makruf dan nahi munkar itu. Adakah kerana nilai hidup yang berpegang kuat dengan pepatah Melayu “ jangan jaga tepi kain orang”, atau mangsa bukan keluarga kita, maka menyebabkan kita tidak mempedulikan, tidak mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling kita sehingga ada pembuangan bayi, kanak-kanak di dera, pembantu rumah dizalimi, warga emas diabaikan atau jiran di rompak pun kita tidak mempedulikannya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)".
Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya: “Tidak beriman seseorang itu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya”( Riwayat: Muslim)
Berdasarkan peringatan Rasulullah ini marilah kita melaksanakan amar makruf dan nahi munkar dalam masyarakat dan kehidupan berjiran kerana akan meningkatkan prestasi keimanan dan ketaqwaan kita. Selain daripada itu, “ amalan menjaga tepi kain orang” sebenarnya mampu meningkatkan persaudaraan dan semangat kejiranan. Amalan ini memberi peluang mengenali lebih dekat siapa jiran tetangga, masalah hidup jiran dan dapat mengenalpasti orang-orang yang mencurigakan yang bergerak di sekitar kita.
Kita jangan mudah cepat marah apabila anak-anak kita ditegur atau dimarahi orang lain kerana teguran itu mungkin untuk membimbing dan mendidiknya. Kita mungkin tidak nampak tingkah laku apa yang dilakukan anak itu. Jadi tidak salah jika orang lain melihat dan menegur misalnya anak bermain di tepi longkang, anak merayau-rayau di tepi jalan, menagih dadah, mencuri dan sebagainya. Kita sewajarnya bersyukur jika terdapat jiran yang perihatin dan mengambil peduli menegur anak anak kita kerana memberi manfaat besar kepadanya.
Jadilah masyarakat yang prihatin dengan merasa bertanggungjawab diatas suasana yang berlaku di sekitar kita, bersama-sama memikul bebanan dan seterusnya memperbaiki fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Dengan izin Allah SWT kita akan mampu menjadi umat yang terbaik. Oleh kerana itu maka sewajarnyalah kita memohon perlindungan Allah Taala agar pekerjaan amar makruf dan nahi munkar ini tidak terlepas daripada tanggungjawab umat Islam.
.....Setiap kebaikan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT....
Sabtu, 5 Jun 2010
Menjaga Tepi Kain
Label:
Agama,
Panduan hidup,
Untuk renungan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan