Khamis, 29 September 2011

Jangan jadi macam unta Arab

TENTUNYA kita pernah sangat melihat unta di kaca televisyen dan filem. Kepada yang pergi ke zoo pasti tidak akan melepaskan peluang melihat unta dengan lebih dekat.
Apa yang kita tahu unta ini lahir di negara Arab. Ia lahir di Arab, hidup di Arab bahkan mungkin mati pun di negara Arab. Tetapi ia tidak boleh berbahasa Arab, betulkan? Memanglah binatang mana boleh bercakap.

cerita unta ini adalah sebagai kiasan kita lahir dari rahim ibu yang Muslimah, ayah juga Muslim, kita lahir di negara dengan majoriti penduduk Islam, di besarkan menjadi anak Muslim, kita sekolah di sekolah Muslim, kita besar menjadi remaja Muslim.

Identiti kita juga menyebutkan bahawa kita seorang Muslim. Ijazah kita Muslim, baju yang kita kenakan juga baju Muslim, dan insya-Allah, kelak ketika kita kembali kepada Allah, kita akan mati di negara yang sekali lagi penduduknya majoriti Muslim.

Apa yang agak kelakar ialah kita ini sebagai Muslim dan ada pasport Muslim, tetapi yang sedihnya ada antara kita yang tidak tahu apa itu Islam. Kita tidak boleh membaca kitab suci orang Islam, kita tidak tahu siapa nabi umat Islam, kita tidak tahu hukum Islam, kita tidak tahu apa yang diperintah dan dilarang Islam.

Bukankah kita seperti unta arab tadi, yang lahir dan besar dan Insya-Allah meninggal pun berada di tengah-tengah Muslim, tetapi tidak mengerti dan tidak mengenal Islam.
Ini bukan tuduhan, tetapi sekadar bermuhasabah agar kita lebih prihatin kepada anak cucu kita yang sedang membesar kerana nampak sangat akhir-akhir ini Islam menjadi dagang tidak dikenali oleh penganutnya sendiri.

Islam bukan hanya sekadar agama. Islam adalah jalan hidup kita menuju puncak kebahagiaan di dunia dan akhirat. Dan ketika kita sudah bersyahadat, isytiharkan diri sebagai orang Islam, maka sebagai kesinambungannya kita wajib menjadikan Islam sebagai cara hidup dan panduan untuk melangkah.

Ia termasuk bagaimana kita berpakaian, berniaga, berpolitik, berumah tangga, berhubung sesama manusia. Semua kena ikut cara tuhan bukannya ikut cara kita. Sebaik mana pun peta yang kita miliki, secanggih apapun kompas yang kita pegang, tetapi kalau kita tak tahu menggunakannya boleh jadi peta dan kompas itu menjadi tidak berharga lagi bagi kita.

Islam pun begitu, dalam setiap solat, kita memohon kepada Allah: “Ya Allah tunjukkan kami jalan yang lurus, jalan para anbia, jalan para syuhada, jalan orang-orang yang mendapat redanya.” Tetapi kita tidak atau kurang menyedari bahawa apa yang kita minta itu sesungguhnya ada di hadapan kita iaitu al-Quran dan Sunnah.

Ini adalah peta kehidupan yang dibuat oleh Allah untuk memandu kita menapak setiap jengkal langkah kita dalam menjalani kehidupan ini.

Al-Quran dan Sunnah adalah kompas yang dijamin seratus peratus benar dan tepat oleh Allah. Setiap solat kita memohon diberi petunjuk ke jalan yang lurus, padahal petunjuk kepada jalan yang lurus itu sudah ada. Hanya kita yang tidak atau belum boleh memahaminya.

Kita tidak akan dapat memahami dan menggunakan al-Quran dan Sunnah sebagai pedoman dan panduan hidup kita. Ibarat hari ini kita merasa belum lengkap seperti tidak lagi membaca e-mel, maka kita mesti gelisah jika kita masih belum baca Al-Quran. Begitu juga rasa tidak selesa kita kalau tidak bersembang sehari, asyik tunggu mesej saja, asyik tengok telefon saja, tetapi Al-Quran kenapa kita tidak tengok dan baca.

Kalau hari ini kita merasa belum lengkap kerana belum mengemas kini status facebook, sepatutnya juga kita berasa cemas kalau kita belum ‘mengemas kini’ bacaan Al-Quran kita. Kalau hari ini kita merasa belum lengkap kerana belum dapat membaca SMS teman, maka semestinya kita lebih cemas ketika kita belum membaca ‘pesanan’ Allah yang terakam dalam Al-Quran.

Jadi tidak hairanlah kalau masih ramai orang Islam laksana unta Arab lahir dari rahim Islam, dibesarkan dalam lingkungan Islam, sekolah Islam, kuliah Islam tetapi masih tidak boleh membaca Al-Quran, apalagi untuk menggunakannya sebagai panduan dalam kehidupannya.

Sememangnya kita bukannya unta. Justeru, sebagai seorang Muslim kita perlu tahu, faham dan mengerti apa itu Islam dan bagaimana menggunakannya dalam kehidupan kita.
Salah satu caranya dengan membaca dan memahami al-Quran iaitu menjadikan al-Quran sebagai menu wajib bagi kita untuk dalam melalui hari-hari dalam kehidupan kita.

0 ulasan:

 
© free template by Blogspot tutorial