Isnin, 30 Ogos 2010

KEMERDEKAAN BERSAMA ROH RAMADHAN

Malaysia adalah sebuah negara Islam. Dalam Perlembagaan diperuntukkan bahawa Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan. Peruntukan ini tidak diadakan oleh penjajah, tetapi diusaha oleh pejuang dan pemimpin negara seiring perjuangan mencapai kemerdekaan. Kerana itulah menjadi kewajipan setiap rakyat melaksanakan tanggungjawab kepada negara yang antara lainnya ialah:
Pertama: Taat serta patuh dengan ikhlas dan penuh rasa bangga.
Kedua: Bersedia menolong pemerintah dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
Ketiga: Menjauhi diri dari perbuatan-perbuatan mungkar seperti menganggu ketenteraman awam, menimbulkan huru-hara dan mengancam keselamatan masyarakat dan negara.
Keempat: Bertanggungjawab mempertahan dan menaikkan nama negara dan
Kelima: Berusaha membangun dan memajukan ekonomi diri, masyarakat dan negara.

Imam Syihabuddin al-Absyihi menyatakan: Sesungguhnya taat kepada pemerintah itu akan mengukuhkan agama dan menjamin ketertiban dalam urusan kehidupan umat Islam, manakala menderhaka pula boleh meruntuhkan asas-asas agama. Ketahuilah bahawa tingkatan kebahagian yang tertinggi ialah taat kepada pemerintah di samping ianya menjadi penyelamat daripada segala kekacauan.

Mensyukuri nikmat kemerdekaan yang kita kecapi agar nikmat ini akan berkekalan dan kemakmuran negara akan sentiasa bertambah dengan pengisian-pengisian yang diredhai Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 7: Maksudnya: ”Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”

Sesungguhnya segala pembangunan dan kemakmuran yang dikecapi hari ini adalah hasil dari nikmat kemerdekaan yang telah dicapai. Namun, Persoalan besar pada hari ini adakah kita sebenarnya sudah merdeka, adakah sekadar kita lepas bebas ataupun tidak lagi dijajah oleh kuasa barat seperti sebelum ini, ataupun kerana kita telah mencapai kemajuan seperti yang kita alami sekarang, kita dikatakan sudah merdeka?.

Ramadhan diberikan oleh Allah SWT kepada kita sebagai suatu proses untuk mencari erti kemerdekaan yang sebenar. Selama ini kita sentiasa dibelenggu oleh dua penjajahan. Penjajah pertama adalah syaitan. Ia sebagai seteru terbesar manusia, kerjanya sentiasa mengajak manusia kepada mendurhakai Allah SWT sepertimana janjinya kepada Tuhan.

Manusia yang terjajah adalah manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada seruan syaitan dalam hidupnya. Manusia yang menurut telunjuk syaitan, sedikit demi sedikit semakin jauh dari Allah SWT hingga hatinya menjadi buta dari kebenaran. Ramadhan datang untuk membantu manusia melepaskan diri daripada penjajah pertama ini. Syaitan dirantai untuk mengurangkan potensinya, urat saraf kita disempitkan dengan berlapar untuk mengurangkan jalan syaitan menguasai kita. Penjajah kedua ialah hawa nafsu dan dirinya sendiri.

Mereka yang dijajah oleh hawa nafsu dan dirinya sendiri tidak mampu membuat pilihan dalam hidupnya. Apa sahaja yang diinginkan oleh nafsunya, semua itu dipatuhi. Mereka ini buta biar pun celik, mereka pekak biar pun bertelinga, mereka menjadi bodoh biar pun menguasai ilmu. Lihatlah berapa ramai manusia yang rosak, kerana hidupnya bertuhankan nafsu? dan berapa banyak tamadun manusia dan kerajaan memerintah yang musnah, apabila pertimbangan tidak lagi berpaksikan tuhan tetapi berkiblatkan nafsu?.

Ramadhan datang mendidik kita untuk memerangi nafsu. Betapa ketika kita ada makanan dan minuman, namun memilih untuk tidak makan dan minum kerana mahu patuh kepada Allah SWT? betapa kita ada isteri atau suami yang halal, tetapi kita tidak mendatangi mereka kerana mahu mematuhi Allah?. Semua itu adalah pengajaran Ramadhan untuk mengajar kita berkata TIDAK kepada sesetengah kehendak diri dan nafsu, agar kita mempunyai daya kawalan diri yang baik. Mereka yang berjaya mengawal diri dan nafsu ini adalah mereka yang benar-benar merdeka sehingga membentuk dirinya menjadi seorang insan bersih lagi bertakwa.

Tarbiah madrasah Ramadhan sebenarnya dapat membentuk sebuah masyarakat dan negara rabbani yang penuh keberkatan dan diredhai oleh Allah SWT. Rakyat yang dididik dengan roh Ramadhan tidak akan melakukan sesuatu perkara dengan mengikut perasan dan hawa nafsu, menzahirkan penghambaan yang sebenar dan sempurna kepada Allah SWT serta juga tidak diperhambakan oleh kekayaan, pengaruh harta benda, tidak dilenakan dengan kesenangan sementara. Jiwa mereka sentiasa tenang, jauh dari keluh kesah serta tidak dikuasai oleh perasaan takut.

Amalan-amalan sepanjang bulan Ramadhan seperti solat berjamaah, bersedekah dapat memupuk cintakan persaudaraan dan merapatkan perpaduan antara rakyat. Dengan demikian keamanan dan kesejahteraan sesebuah negara itu dapat dipelihara dan dijaga. Sama-sama kita kaji bagaimana sebenarnya hidup seorang hamba kepada Allah SWT dengan memerdekakan diri kita dari segala bentuk dosa dan kesalahan kepada Allah SWT.

Sempena sambutan ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke-53 tahun pada 31 ogos bersamaan 21 Ramadhan al-Mubarak 1431H, marilah kita menjadikan amalan sepanjang bulan Ramadhan ini sebagai amalan contoh untuk mencegah, merawat penyakit dan mengekalkan gaya hidup yang di redai oleh Allah SWT.

0 ulasan:

 
© free template by Blogspot tutorial