Ahad, 22 Mac 2009

Tanda-Tanda Kekuasaan Allah

Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. Dan pada kejadian diri kamu sendiri serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkannya terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang meyakininya.

Dan pada pertukaran malam dan siang silih berganti, dan juga pada rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit lalu ia hidupkan dengannya tumbuhan di bumi sesudah matinya serta (pada) peredaran angin (semuanya itu) mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan) KeEsaan Allah, kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya serta keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran. (Al-Jaathiyah: 3-5)

Huraian: Kelebihan manusia berbanding dengan makhluk yang lain ialah dikurniakan akal sebagai neraca menilai antara kebaikan dan keburukan, antara kebenaran dan kepalsuan. Daripada akal jugalah lahirnya keyakinan dan keimanan. Lantaran itu, Allah s.w.t. menyuruh manusia menggunakan akal bagi menilai dan menyelidik rahsia di sebalik kejadian alam semesta.

Renungan yang dipandu kewarasan akal, ilmu dan kebersihan hati akan memancarkan cahaya keimanan bahawa wujudnya Pencipta yang Maha agung lagi Maha Bijaksana. Akal yang waras pasti menyatakan mustahil alam semesta ini terjadi dengan sendiri secara tiba-tiba atau tidak sengaja. Sebaliknya, ia memaparkan betapa bijaksana dan hebatnya Si Pencipta. Manusia yang hanya tahu menikmati keindahan alam tetapi tidak timbul rasa kekerdilan seorang hamba atau gagal merasai nikmat iman sebenarnya telah tertutup pintu hati dan kewarasan akalnya kerana hawa nafsu dan tipu daya syaitan.

Seseorang yang mati dalam keadaan tidak percaya kepada Allah, maka kelak akan menyesal kerana ditimpa azab seksa daripada Allah. Ketika itu dia sudah tiada alasan kerana dulu semasa hidupnya telah diberi peluang bagi mempercayai kewujudan Allah, iaitu dengan merenung alam semesta dan menyelidik rahsia serta keajaiban alam tetapi dia telah mensia-siakannya.
Kesimpulan: Akal anugerah Allah mestilah digunakan untuk kebaikan seperti merenung dan mengkaji alam semesta. Ini kerana keimanan dan keyakinan kepada Allah akan bertambah dan kukuh dengan merenung alam ciptaan-Nya. Rugilah mereka yang menikmati keindahan alam tetapi tidak beriman kerana telah mensia-siakan akal dan masa hidupnya.

0 ulasan:

 
© free template by Blogspot tutorial