KUALA LUMPUR, 17 Feb — Gerakan memesongkan akidah umat
Islam masih berlarutan, terbaru gerakan ini yang menggelarkan diri mereka
kumpulan penyokong murtad di Malaysia dan Singapura menggunakan laman sosial
Facebook bagi meraih sokongan masyarakat.
Dengan penubuhan kelab ini di Facebook ditambah pula
penyertaan terbuka kepada mereka yang murtad di negara ini, pengendali laman
sosial ini dikesan turut mempelawa mana-mana individu supaya menyumbangkan
sokongan moral kepada golongan itu.
Memetik Harian Metro, gerakan itu juga terbuka
mengemukakan objektif kumpulan berkenaan sebagai medium kepada sistem sokongan
moral untuk golongan terbabit dengan perbincangan mengenai persoalan murtad di
Malaysia, termasuk agama Islam serta bangsa Melayu.
Bagaimanapun, mereka yang memasuki laman berkenaan dan
cuba berdakwah atau menentang perbuatan serta perbincangan ahli kelab yang
menghina dan merendah-rendahkan agama Islam itu segera disekat daripada menjadi
ahli.(READ MORE)
Sehingga petang semalam seramai 843 orang menyukai pautan
dinding kelab terbabit yang mula mencetuskan kebimbangan umat Islam berikutan
pandangan dikemukakan keterlaluan termasuk menghina junjungan besar Nabi
Muhammad s.aw.
Antara pandangan dikemukakan beberapa ahli kelab itu
ialah mempertikai kandungan ayat suci al-Quran, mukjizat nabi selain memaparkan
objek menyamai kemaluan yang digambarkan sebagai perkataan Allah dalam bahasa
Arab.
Pengendali kelab itu dipercayai cuba memesongkan akidah
pembaca dengan memberikan serba ringkas penerangan isu murtad di negara ini
serta pada masa sama membuat perbandingan mengenainya dengan beberapa negara
Islam lain.
Selain itu, pengendali laman berkenaan turut memberi
jaminan keselamatan dan privasi ahli kelab selepas menyertai perbincangan
lanjut bersama ratusan pengikut lain.
Selain ahli yang sudah murtad, ahli yang bukan beragama
Islam turut mengutuk dan menghina Islam secara terbuka serta memberi gelaran
yang melampau bukan sahaja kepada Nabi Muhammad, malah kepada mufti, ulama
serta tokoh agama lain.
Mereka juga mempersoalkan beberapa amalan yang
disyariatkan kepada umat Islam termasuk pemakaian bagi wanita Islam selain
menggelar Islam “agama samseng” hanya kerana umatnya ingin mempertahankan
kesucian agama itu.
Pautan pada laman itu juga memaparkan penghinaan terhadap
Rasulullah apabila pengendali memaparkan artikel bertajuk “Memahami Muhammad”
dengan penuh prasangka buruk terhadap junjungan besar itu termasuk memutar
belit sifat mulia Nabi itu dengan kata-kata kesat serta cacian.
“Demi menjamin keselamatan rakyat Malaysia yang murtad
dari Islam, mereka tidak digalak menggunakan nama sebenar seperti tercatat
dalam rekod negara yang tertulis di kad pengenalan warga negara,” kata satu
petikan di laman itu.
Menurut kenyataan itu, individu yang menyertai perbincangan
itu dijamin keselamatan peribadi dan digalakkan berbincang dengan menghormati
antara satu sama lain.
“Seseorang yang murtad biasanya mengalami krisis peribadi
dan risaukan keselamatan kerana hubung kait dengan keluarga dan masyarakat
Islam di sekeliling. Jadi marilah kita semua menjadikan tempat ini sebagai
tempat pelindung kepada golongan murtad di Malaysia dan menghulurkan bantuan
serta sokongan kepada mereka.
“Ini boleh menjadi tempat selamat, penuh dengan dorongan
dan sokongan kepada apa jua pilihan dibuat mereka yang murtad. Tanggungjawab
kita semua hanyalah untuk menerima mereka ini sebagai seorang individu berhak
membuat pilihan dan hidup bebas dari hukuman syariat Islam,” kata pengendali
itu.
Sementara itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata akta berkaitan murtad diharap dapat
dikuatkuasakan segera bagi membendung kegiatan pihak tertentu yang cuba
mewujudkan gerakan menyokong gejala itu.
Kata beliau, kegiatan sebegitu dikesan sejak 20 tahun
kebelakangan ini dan dijadikan agenda kumpulan tertentu untuk mendesak kerajaan
menerima kegiatan murtad di negara ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan