Ahad, 26 Disember 2010

Orang beriman hanya makan untuk hidup

CARI makan - demikian rutin kehidupan manusia, tidak kira makan waktu pagi, petang, siang, malam ataupun tengah malam.Apabila hidup nak makan, sesetengah kita tidak peduli lagi sama ada makanan itu halal atau haram.

Orang beriman makan untuk hidup dan bukannya hidup untuk makan. Jawapan mengenai hidup untuk makan atau makan untuk hidup berkait rapat dengan keimanan dan kepercayaan seseorang.

Adakah dunia ini satu-satunya kehidupan? Atau di sana, selepas kematian pasti ada alam lain yang kekal abadi? Mereka yang kufur hidup untuk makan.Ini diterangkan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Dan orang yang kafir makan dan minum serta berseronok sebagaimana berseronoknya binatang dan nerakalah tempat kembali mereka".

Realitinya, tanpa kita sedari kebanyakan manusia hidup untuk makan. Bukan lagi makan untuk hidup! Malah, ada manusia sanggup membunuh demi mendapatkan sesuap makanan untuk mengisi perut yang lapar.

Manusia tidak lagi memikirkan dosa membunuh yang pasti akan diterima selepas mati. Manusia sanggup menipu, menindas, mencuri, meragut, merompak dan menyamun kerana mahu makan asalkan dapat makan.

Sepanjang masa manusia 'berperang' untuk mendapatkan tanah yang subur yang boleh membekalkan mereka bahan makanan harian. Allah memerintahkan manusia untuk mengambil yang halal dan meninggalkan yang haram menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang-orang beriman, makanlah makanan halal yang kami kurniakan kepada kamu". (Surah al-Baqarah ayat 172)

Perintah yang sama juga ditujukan kepada Rasul menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Wahai sekalian Rasul, makanlah daripada makanan yang baik (halal) dan lakukanlah amalan solihin". (Surah al-Mukminin ayat 51)

Halal dan haram itu adalah ketetapan Allah yang mencipta manusia bagi menguji sejauh mana ketaatan mereka kepada Pencipta. Mereka yang merentasi ujian itu, pasti berjaya. Sementara itu, bagi mereka yang gagal pasti ke neraka menjadi makanan api yang tersedia marak membara.

Justeru, ada kalanya manusia diuji dengan sedikit ketakutan dan kelaparan.
Allah berfirman yang bermaksud: "...Dan Kami pasti akan uji kamu dengan sedikit rasa takut, rasa lapar, kekurangan harta, kekurangan nyawa dan kekurangan buah-buahan. Dan berilah khabar gembira kepada orang sabar".(Surah al-Baqarah ayat 155)

Orang yang bersabar ialah orang meyakini wujudnya hari pembalasan. Justeru, Allah menjelaskan dalam ayat seterusnya bermaksud: "Iaitu mereka yang apabila ditimpa musibah mereka menyatakan; Kita milik Allah dan kepada kita pasti kembali". (Surah al-Baqarah ayat 156)

Orang yang tidak sabar pasti gagal dalam ujian. Berapa ramaikah manusia yang mampu bersabar menghadapi ujian ini? Perut lapar yang perlu diisi menjadikan manusia lupa bahawa dia akan mati.

Dia lupa bahawa segala perlakuannya akan dihitung serta dipertanggungjawabkan. Malah, dia lupa pada seksaan Allah iaitu pohon Zakkum yang berduri sebagai makanan dan air panas menggelegak sebagai minuman orang yang berdosa.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya pohon Zakkum adalah makanan orang yang berdosa seperti air panas yang menggelegak di dalam perut". Bagaimana pula dengan kita? Adakah bersedia untuk ke neraka?

Bagaimana keadaannya jika ada segelintir kita yang pergi menikmati makanan di restoran bukan Islam? Mereka tidak kira kerana yang penting ia sedap dinikmati. Adakah kita sanggup memperjudikan keimanan kita? Adakah kita fikir orang bukan Islam itu sanggup menjaga prinsip agama kita yang berbeza sungguh dengan agama mereka?

Adakah kita mahu mereka tolong jaga agama kita? Adakah mereka sanggup susah atas alasan mahu memastikan kita makan makanan halal?

Apalah sangat selera yang didorong oleh nafsu sehingga kita mengambil mudah semua ini? Rasanya soal makan kita masih belum sampai ke tahap darurat.

info : myMetro

0 ulasan:

 
© free template by Blogspot tutorial