Sabtu, 4 September 2010

HUTANG RAMADHAN

Ramadhan akan berlalu dan meninggalkan kita pelbagai pengajaran. Perayaan Idulfitri yang kita akan sambut pada ketika ini dijangka berlarutan sepanjang bulan Syawal sebagai tanda kita berjaya menunaikan amanah melaksanakan latihan kerohanian selama sebulan. Ramadhan telah melatih kita membentuk pengurusan hidup yang terbaik, kekuatan takwa yang mantap, mewujudkan manusia yang baru, bersih dari dosa. Hanya orang-orang yang beramal soleh dapat menghasilkan ketakwaan, merasai nikmat puasa dan dapat mengalami perubahan. Jika kita mampu meneruskan kesinambungan cahaya keberkatan Ramadhan dalam tempoh sebelas bulan yang akan datang menandakan kita telah bertanggungjawab melahirkan insan yang bertakwa.

Berdasarkan kejayaan ini maka setiap muslim berhak merayakan hari Idulfitri. Kemeriahannya dapat dirasakan dengan rumah-rumah kita dibersihkan, hiasan dalaman dan luaran rumah juga penuh keceriaan, sanak saudara, sahabat handai berkumpul beramai-ramai menikmati juadah makanan yang disediakan. Kemeriahan menyambut Idulfitri adakalanya tidak dapat dipisahkan dengan hiburan sebagai tanda keseronokan. Pada dasarnya Islam tidak melarang kita berhibur dan bersukaria semasa sambutan hari raya namun janganlah ia berlebih-lebihan dan melampau batas keagamaan serta ada unsur-unsur kemaksiatan.

Sebaik sahaja kita selesai berpuasa Ramadhan dan meraikan Idulfitri kadangkala timbul kesedaran yang kuat dikalangan muslimin bagaimana meneruskan sinaran cahaya Ramadhan ini. Ada yang ingin mendapat maklumat lanjut tentang puasa enam, puasa sunat yang lain, puasa nazar, fidyah puasa dan sebagainya.

Ternyata Islam adalah agama rahmat yang sentiasa menggalakan umatnya berdamping rapat dengan Allah SWT. Islam menyediakan pilihan-pilihan amalan puasa dalam pelbagai jenis. Sebagai langkah tambah nilai untuk mengukuhkan dan menguatkan cahaya Ramadhan Allah SWT telah memperuntukkan amalan puasa enam dalam bulan Syawal. Puasa enam ini hukumnya sunat. Abu Ayub RA meriwayatkan sebuah hadith sahih, sabda Rasulullah SAW bermaksud : “Barangsiapa berpuasa Ramadhan, kemudian ia mengiringinya dengan puasa enam hari dari bulan Shawal, adalah puasanya itu seperti puasa sepanjang masa”.(Riwayat Muslim)

Fadhilat puasa enam ini ialah Pertama: Memberi pahala sepanjang masa. Kedua: Sebagai langkah tambahan menampung kelemahan puasa wajib Ramadhan. Ketiga: Mengulangi puasa sesudah Ramadhan sebagai tanda keyakinan puasa kita diterima Allah SWT. Keempat: Sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT dan Kelima: Sebagai tanda kekal mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Selain puasa enam boleh juga mengamalkan puasa-puasa sunat hari isnin dan khamis, Puasa hari Arafah musim Haji, Puasa hari Asyura 10 Muharram dan beberapa jenis puasa sunat yang lain. Puasa-puasa sunat yang diamalkan adalah untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT. Oleh itu adab-adab puasa sunat hendaklah dijaga sepertimana kita menjaga adab puasa wajib Ramadhan. Puasa-puasa sunat juga memberi fadhilat yang besar kepada kaum Muslimin. Abu Said al-Khudri meriwayatkan Sabda Rasulullah SAW: ” Sesiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah nescaya Allah akan menjauhkan mukanya dari api neraka sejauh perjalanan 70 tahun” (Riwayat:al- Bukhari).

Dalam keghairahan kita melaksanakan puasa sunat kita perlu juga membayar hutang-hutang puasa yang kita tinggalkan atau puasa nazar yang tidak dilaksanakan. Jika puasa Ramadhan yang lalu, terdapat beberapa hari ditinggalkan maka kita hendaklah menqadhakan puasa mengikut jumlah hari yang ditinggalkan. Bagi mereka yang tidak mampu menqadhakan kerana tua maka dia hendaklah membayar fidyah. Sekiranya dia masih ada tunggakkan hutang Ramadhan yang lampau, dia hendaklah juga membayar fidyah mengikut jumlah hari disamping melaksanakan qadha puasa yang ditinggalkan pada tahun semasa.

Puasa nazar wajib dilaksanakan jika kita bernazar kerana atas pencapaian sesuatu. Jika kita gagal melaksanakan puasa nazar, kita diwajibkan membayar denda atau kafarat iaitu memberi makan 10 orang miskin atau memberi pakaian yang sewajarnya kepada orang miskin.

Mempertahankanlah cahaya Ramadhan dengan meneruskan amalan puasa-puasa sunat telah diakui oleh Allah SWT dan pakar perubatan bahawa puasa adalah amalan mujarab menjaga kesejahteraan manusia serta meningkatkan ketakwaan.

0 ulasan:

 
© free template by Blogspot tutorial